Peraturan Berhemah untuk Anggota Parlimen Parti Pekerja

 
WP MPs.jpg

Pendahuluan

  1. Tahniah atas kejayaan anda terpilih sebagai Anggota Parlimen.

  2. Saya berfikir inilah masa yang paling wajar untuk menulis kepada anda, iaitu selepas anda mengangkat sumpah di Parlimen dan setelah sebilangan daripada anda membiasakan diri dengan tugas dan tanggungjawab sebagai seorang ahli majlis bandaran terpilih.

  3. Isi surat ini disusun dengan tujuan untuk memberikan motivasi kepada anda untuk mencapai kecemerlangan dalam melaksanakan tugas sebagai seorang Anggota Parlimen. Sila selami dan fahami setiap baris perkataan dengan baik. Sentiasalah renungkan setiap perjalanan yang anda tempuh sebagai satu peluang yang istimewa kerana peluang ini terbuka kepada orang-orang tertentu sahaja, terutamanya bagi kita di pihak pembangkang. Saya percaya bahawa anda akan melakukan yang terbaik untuk pejabat di bawah kendalian anda dan merancang dengan penuh tekun agar suatu hari nanti anda boleh melihat kembali segala kejayaan yang telah anda kecapi selama bertahun-tahun dengan penuh rasa bangga. Anda akan sedar dengan pantas, jika anda belum menyedarinya lagi, bahawa kerja keras dan disiplin diri merupakan perkara yang penting bagi memastikan penggal pemerintahan yang kuat dalam jawatan anda.

    Penghormatan Diri Anggota Parlimen

  4. Anggota Parlimen Parti Pekerja adalah seorang pemimpin dan wakil utama Parti Pekerja. Anda tidak boleh lupa perkara ini. Sentiasa ingat bahawa anda tidak dipilih sebagai Anggota Parlimen bebas, tetapi sebagai seorang pembawa bendera bagi Parti Pekerja.

  5. Apabila anda memutuskan untuk bertanding sebagai calon Parti, anda telah menandatangani pengisytiharan. Salah satu daripada fasalnya telah mengatakan bahawa jika anda terpilih untuk ke Parlimen, anda perlu mengutamakan khidmat politik dan servis kepada para konstituen anda. Ini adalah fasal langsung, tetapi iltizam anda terhadap perkara ini akan menentukan kejayaan atau kegagalan anda di kawasan undi dan Majlis Bandaran anda. Di peringkat nasional pula, sumpah Anggota Parlimen yang terkandung dalam Perlembagaan menegaskan tanggungjawab dan jangkaan yang serupa.

  6. Gambaran sebenar iltizam dan sikap anda sebagai seorang Anggota Parlimen Parti Pekerja tidak ditentukan oleh jumlah suka, perkongsian atau maklum balas yang anda terima di rangkaian talian, tetapi ia ditentukan oleh tindakan yang anda ambil di lapangan dan suara anda di Parlimen. Parti telah menetapkan garis panduan mingguan khas untuk mencapai jangkaan minimum bagi setiap Anggota Parlimen Parti Pekerja termasuklah lawatan rumah mingguan dan secara berasingan, lawatan di kawasan undi Parlimen anda. Sekiranya anda merupakan seorang Anggota Parlimen penggal pertama dan berkeinginan untuk mempertahankan kedudukan Parti di kawasan undi Parlimen anda, penambahan aktiviti-aktiviti khusus di kawasan undi Parlimen anda amat digalakkan. Sebahagian besar usaha anda ini akan berbalik kepada iltizam peribadi dan kesediaan untuk menjadi seorang Anggota Parlimen berakar umbi serta untuk mencerminkan aspirasi dan kefahaman konstituen anda dan sesama warga Singapura.

  7. Keinginan untuk bersikap professional dalam setiap urusan anda dan kesediaan untuk diteliti masyarakat adalah penting sekiranya anda ingin menjadikan penggal anda inspirasi terbaik kepada usaha yang anda taburkan. Anda tidak akan dapat bermanfaat daripada organisasi akar umbi dibiaya berjumlah satu bilian dolar dalam sokongan kerja anda. Jangan berasa terlalu terbeban dengan perkara ini sehingga ia melumpuhkan aktiviti politik, menjadikan anda tidak aktif dan lebih buruk lagi, memandang rendah terhadap kekuatan peribadi anda terhadap kawasan Parlimen anda. Laksanakan aktiviti di kawasan pimpinan anda dengan para sukarelawan anda sendiri. Terus lakukan lawatan ke rumah dan kedai-kedai di kawasan pimpinan anda secara peribadi. Kenali penduduk, penjaja dan pengendali komersial di kawasan Parlimen anda. Pengundi anda berhak menerima perkhidmatan yang terbaik. Perkara yang paling penting adalah untuk berikan tumpuan dan perhatian sepenuhnya terhadap menyampaikan mesej mengenai kerja-kerja di Majlis Bandaran kepada penduduk di kawasan anda. Jauhkan diri anda dari sikap pasif, tidak ambil peduli atau inersia, kalau tidak anda akan melihat kembali tempoh kepimpinan anda dengan rasa penuh kesal dan kecewa yang mendalam.

  8. Sebagai seorang Ahli Majlis Bandaran, anda juga bertanggungjawab sebagai penjaga dana awam. Berhati-hati dalam hal ini dan pastikan setiap perbelanjaan telah ditaja oleh proses dan kawalan kelulusan yang tepat serta mematuhi Peraturan Kewangan Majlis Bandaran. Sebagai seorang Anggota Parlimen di kawasan anda, anda juga diharapkan dapat berkomunikasi secara berkala dengan pengurusan dan kakitangan Majlis Bandaran dan para kontraktor Majlis Bandaran dari masa ke semasa. Tetapkan piawaian yang tinggi dalam pengurusan Majlis Bandaran anda bersama ahli Majlis Bandaran yang lain. Anda hendaklah berhati-hati dengan undang-undang berkaitan rasuah, dan jangan biarkan diri anda terpengaruh dengan tidak wajar oleh sebarang kontraktor.

    Parliamen

  9. Tujuan ahli parlimen backbencher, tanpa mengira parti, adalah untuk memeriksa Pemerintah hari ini.

  10. Parti pemerintah tidak akan duduk diam dengan kekalahan mereka, kerana mereka telah pun menyatakan bahawa mereka bertanding untuk memenangi setiap kerusi dalam setiap pilihan raya. Anggota Parlimen mereka juga bebas untuk memerhatikan kedudukan dan pandangan anda semasa sesi perbahasan di Parlimen, sebagaimana mereka. Jangkakan situasi soal-jawab yang mantap dengan beberapa orang Anggota Parlimen Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang akan menyerang anda dari setiap sudut dengan pelbagai soalan berkaitan topik perbincangan. Demokrasi berparlimen adalah bercorak seteru (adversarial) dan jangkaan anda perlulah tidak kurang daripada tahap ini. Dalam keunggulan berangka PAP yang luar biasa ini, setiap perkataan dan ucapan anda di Parlimen dijangka akan diteliti dan dirujuk dengan jelas seperti yang telah dinyata oleh Parti atau anda sebelumnya.

  11. Baca Peraturan Tetap Parlimen dengan teliti untuk mengetahui jenis soalan yang izin untuk diajukan dalam sesi persidangan Parlimen. Misalnya, sekiranya Parti lawan anda menunjukkan tanda-tanda kurang memahami Peraturan Tetap Parlimen, janganlah teragak-agak untuk meminta keputusan Tuan Speaker mengenai masalah tersebut. Sudah semestinya anda hanya boleh melakukan perkara ini sekiranya anda sudah terbiasa dengan Peraturan Tetap. Bertanyalah kepada motivasi diri anda sendiri ketika anda menulis draf untuk soalan dan ucapan anda di Parlimen atau semasa anda bangun dari kerusi untuk mendapat penjelasan ketika sesi perbahasan di Parlimen. Sekiranya soalan anda tersebut adalah untuk kemajuan dan kesejahteraan Singapura dan warga Singapura, teruskanlah tanpa rasa takut.

  12. Tempoh jawatan anda adalah bersifat maraton. Prestasi yang konsisten akan diambil kira dalam pengiraan akhir. Sentiasa ingat bahawa Parti lawan akan menggunakan setiap sumber yang mereka mampu peroleh untuk menjatuhkan dan mengalahkan kita pada pilihan raya yang akan datang, atau untuk rendahkan martabat diri anda di khalayak pada setiap peluang, termasuklah di laman media sosial, sama ada secara langsung atau melalui proksi.

  13. Anda diharapkan untuk menghadiri setiap sesi Parlimen. Anda mestilah meminta kebenaran secara tulisan daripada Whip Parti atau Timbalan Whip untuk memohon cuti sekiranya anda perlu meninggal semasa sesi parlimen. Secara berasingan, anda mesti tetap berada di Dewan Parlimen jika Rang Undang-Undang atau usul yang sedang anda bentang atau telah anda bentang, sedang berlangsung. Parti juga berharap agar Anggota Parlimen aktif di Dewan Parlimen, sering memfailkan Soalan-soalan Parlimen, selain mengemukakan idea dan pendapat berkaitan Rang Undang-Undang. Prestasi anda, kualiti keterlibatan anda dan keteraturan penyertaan anda di Parlimen akan diteliti oleh para pengundi.

  14. Bacalah Akta Parlimen (Hak Keistimewaan, Kuasa dan Kekebalan), terutamanya peruntukan berkaitan penerimaan hadiah. Hubungi SG (Setiausaha Agung) atau Pengerusi Parti sekiranya timbul sebarang keraguan. Biasakan diri anda dengan Perlembagaan Republik Singapura dan Akta Pencegahan Rasuah.

  15. Anda mungkin diundang untuk menyertai lawatan Parlimen atau lawatan rasmi ke luar negara untuk mewakili Parlimen Singapura atau majlis-majlis rasmi pemerintah yang lain. Anda amat digalakkan untuk menyertainya. Sentiasa sematkan dalam fikiran anda bahawa sebagai sebuah negara yang kecil, adalah penting bagi Singapura untuk bersatu-suara dan bersatu padu terutamanya di pentas antarabangsa. Berundinglah dengan wakil Pemerintah atau anggota-anggota parlimen yang lain mengenai kedudukan nasional serta ajukanlah soalan kepada SG (Setiausaha Agung) atau Pengerusi Parti jika ada keraguan, atau jika anda berasa kurang selesa untuk menyokong sebarang pendirian atau pendapat berkaitan perkara rasmi.

  16. Mengesahkan semua penglibatan awam dan media, serta permintaan petikan atau pendapat kepada pihak media – sama ada atas talian atau luar talian – dengan Ketua Pasukan Media yang kemudiannya akan meminta kebenaran daripada SG (Setiausaha Agung) atau Pengerusi Parti untuk penyertaan anda.

    Peranan anda sebagai seorang Anggota Parlimen Parti Pekerja

  17. Mengesahkan semua penglibatan awam dan media, serta permintaan petikan atau pendapat kepada pihak media – sama ada atas talian atau luar talian – dengan Ketua Pasukan Media yang kemudiannya akan meminta kebenaran daripada SG (Setiausaha Agung) atau Pengerusi Parti untuk penyertaan anda.

  18. Berfikirlah dengan teliti semasa anda mempertimbang untuk berucap di hadapan khalayak ramai jika diundang oleh organisasi tertentu. Sekiranya anda memilih untuk menerima jemputan tersebut dan Parti juga telah bersetuju dengan penyertaan anda, pertimbang kembali tujuan atau agenda utama anda menghadiri majlis tersebut dan fikirkan mesej utama yang anda ingin sampaikan kepada hadirin. Mesej yang anda ingin sampaikan mestilah selaras dan sesuai dengan pendirian yang dibawa oleh Parti dan berusahalah untuk mempromosikan imej Parti sebagai sebuah entiti yang rasional, terhormat dan bertanggungjawab dalam pentas politik Singapura. Hal ini secara tidak langsung dapat memperkuat kedudukan Parti Pekerja sebagai parti haluan kiri yang setia dan terunggul di tanah air. Anda juga perlulah merujuk kepada Ketua Pasukan Media sebelum menerima sebarang undangan untuk mendapatkan input yang lebih jelas dan mengelakkan terjadinya keraguan. Tanyakan pada diri anda apakah peranan organisasi dan/atau penyertaan anda dalam pelbagai cara boleh disalah ertikan, dipolitikkan atau dianggap tidak bersesuaian dengan imej Parti. Sekiranya perkara tersebut boleh terjadi, maka ia dianggap naif secara politik dan anda tidak patut meneruskannya.

  19. Janganlah anda mengambil mudah dan mensia-siakan para sukarelawan akar umbi, sebaliknya selalulah berhubung dengan mereka. Perkara ini adalah kenyataan dalam dunia politik bahawa pada awalnya sukar untuk menilai niat seseorang yang menyertai perjuangan sesebuah Parti. Dapatkan panduan daripada kod tingkah laku sukarelawan, dan anda turut harus memimpin mereka dengan contoh teladan. Meskipun para sukarelawan cenderung mempunyai sifat yang ramah dan sentiasa menunjukkan sokongan padu terhadap anda, mereka juga akan memerhatikan kemampuan kepimpinan dan setiap gerak geri yang anda ambil dengan penuh teliti – sama ada anda lebih berminat dengan kedudukan anda sebagai seorang Anggota Parlimen dan lebih cenderung ke arah meningkatkan prestasi diri? Atau adakah anda seorang anggota Parlimen sebenar yang sanggup meluangkan masa serta titik peluh anda untuk berkhidmat kepada masyarakat serta segera memberikan maklum balas dan sentiasa mempunyai inisiatif dalam menangani permasalahan yang terjadi?  Sudah pasti bahawa Anggota Parlimen Parti Pekerja yang bersikap seperti situasi yang pertama tidak akan kekal memegang jawatan ini.

    Sesi Bertemu Rakyat dan komunikasi dengan penduduk

  20. Salah satu aktiviti yang perlu disertai sepanjang perkhidmatan anda termasuklah sesi bertemu rakyat, anda juga mungkin akan bertemu dengan individu yang mengemukakan kekurangan dalam dasar-dasar pemerintah. Janganlah terlalu awal membuat kesimpulan. Anda haruslah mendapat maklumat sebanyak mungkin tentang sesuatu kes dan membuat pertimbangan yang tepat dalam menilai kes tersebut. Sebagai contoh, adakah anda sudah melakukan kajian yang cukup terhadap sebab-sebab dasar di sebalik sesuatu permasalahan yang timbul, bolehkah sesuatu dasar itu ditambah baik, bolehkah alasan luar/ekstrinsik dapat memperjelas perkara tersebut? dll. Perkara-perkara inilah yang sepatutnya terlintas di fikiran anda terlebih dahulu. Dalam beberapa kes yang lain, anda perlu memikirkan sekiranya diri anda atau pejabat kendalian anda dimanipulasi sebagai alat untuk merealisasikan minat atau kepentingan luaran pihak lain. Jangan pernah lupa bahawa anda hanya bertanggungjawab untuk memenuhi kepentingan Singapura dan warga Singapura sahaja. Meskipun begitu, tetaplah berfikiran terbuka semasa anda menangani masalah tersebut dengan penuh rasa empati, seperti yang diharapkan sebagai seorang Anggota Parlimen Parti Pekerja. Dapatkan kepercayaan pendudukan kawasan anda.

  21. Anda tidak akan dapat memenuhi semua permintaan. Bersikap lurus dan jujurlah dengan penduduk di kawasan anda tanpa hilang rasa empati dan belas kasihan kepada mereka. Sekiranya anda tidak mempunyai jawapan yang jelas terhadap permasalahan yang diajukan oleh penduduk, beritahu mereka bahawa anda akan menyemak dan menghubungi mereka semula. Pastikan anda melaksanakan perkara tersebut.

  22. Atas semangat dan komitmen anda untuk membantu penduduk atau menyuarakan sebarang isu dan masalah, anda hendaklah menunjukkan tauladan yang baik dengan sentiasa bersikap sopan dan profesional dalam menguruskan urusan anda dengan penjawat awam dan masyarakat. Anda juga mungkin perlu menulis kepada pemegang jawatan - atau kepada Anggota Parlimen daripada parti-parti yang lain - untuk memajukan kes yang berkaitan dengan mereka.

    Pendekatan ‘Hammer’

  23. Penjualan ‘Hammer’ adalah aktiviti Parti berpusat yang dilaksanakan lebih daripada setengah hari Ahad sepanjang tahun. Seorang Anggota Parlimen digalakkan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ini dan memimpin setiap ahli untuk menjual surat berita kepada orang ramai.

    Kesimpulan

  24. Surat ini bertujuan untuk memberikan garis panduan dasar yang jika diikuti, mampu untuk memberikan anda asas untuk mencapai kejayaan dan memenuhi syarat-syarat kelayakan sebagai seorang Anggota Parlimen. Butiran yang terperinci berkaitan dengan perkara yang dibenarkan dan tidak dibenarkan dilakukan oleh seorang Anggota Parlimen tidak dapat dirumuskan dalam satu dokumen sahaja. Parti juga tidak berkemampuan untuk menyediakan manual yang lengkap bagi memastikan anda meraih kejayaan dan manfaat dalam penggal anda. Kejayaan atau kegagalan anda ditentukan sepenuhnya oleh profesionalisme, disiplin diri, dan komitmen asas serta keinginan yang anda berikan untuk mewakili suara warga Singapura dengan berkesan di Parlimen.

  25. Semoga berjaya.